Pengarah Hospital Taiping Ditetak | ckod-ckodok

ckod-ckodok: Pengarah Hospital Taiping Ditetak

Wednesday 6 March 2013

Pengarah Hospital Taiping Ditetak


Taiping: Pengarah Hospital Taiping Dr Mohd Yassim Abdul Rahman, cedera di tangan dan kakinya akibat ditetak dengan parang panjang oleh kakitangan hospital berkenaan selepas satu pergaduhan, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, pekerja di Jabatan Pengimejan itu dipercayai gagal mengawal kemarahan sebelum menetak Dr Mohd Yassim ketika mereka bertemu di sebuah bilik di jabatan berkenaan.

Suspek berusia 53 tahun itu bagaimanapun melarikan diri sejurus insiden itu dan gagal dikesan sehingga kini. Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah berkata, mangsa yang cedera teruk di tangan dan kaki terpaksa dikejarkan beberapa kakitangan hospital lain ke Unit Kecemasan hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, katanya, mangsa terpaksa di bawa ke Hospital Selayang jam 1 tengah hari untuk mendapatkan rawatan lanjut dan pemantauan lebih rapi.

“Mangsa kini stabil, namun masih memerlukan pemantauan lanjut berikutan luka teruk yang dialami akibat kesan kelar itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, pihaknya menjejaki suspek di rumahnya di pekan Taiping, namun gagal menemuinya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, beliau terkejut sejurus menerima berita mengenai insiden berkenaan.

Menurutnya, beliau kini menyerahkan kepada polis menyiasat lanjut kejadian itu.
Beliau mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri melakukan siasatan terperinci mengenai insiden itu.

“Saya berusaha mengumpulkan maklumat lengkap mengenai kejadian itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...